CAMERON HIGHLANDS: Kenderaan termasuk bas pelancong diletakkan di tepi jalan berikutan jumlah petak parkir terhad di kawasan pasar Kea Farm menjadi punca kesesakan lalu lintas di sini terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.
Ahli dan sukarelawan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), K. Selvarajoo berkata, sehubungan itu, cadangan menambah bilangan petak letak kenderaan seperti diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini perlu dibuat di lokasi punca ia berlaku, bukannya di tempat lain.
Menurutnya, jika dibuat di tempat lain, ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik di sini.
“Antara punca utama kesesakan kenderaan di sini disebabkan pasar Kea Farm yang menjadi tumpuan pelancong. Selain kurang parkir kereta, kawasan Kea Farm juga tiada tempat letak bas.
“Kalau kita ke Kea Farm sekarang, memang tiada tempat letak bas. Bas diletakkan di tepi jalan. Itulah punca jalan sesak.
“Bayangkan pelancong yang sudah tua datang dari jauh, sudahlah bas letak di tepi jalan, nak melintas ke pasar untuk beli barang. Nak pikul barang balik ke bas dengan bawa anak lagi. Keadaan ini melibatkan keselamatan pelancong juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selvarajoo juga menyifatkan keadaan pasar Kea Farm sudah tidak sesuai kerana masih terdapat gerai jualan yang berselerak, tidak tersusun serta menggunakan khemah.
“Gerai-gerai di Kea Farm berselerak, nampak tidak cantik. Ada gerai dibina guna plastik, zink. Ini Cameron Highlands, pelancong antarabangsa ramai, jadi kena naik taraf.
“Pada pandangan saya, kalau ubah pasar Kea Farm ke tempat lain yang lebih sesuai, sediakan parkir yang cukup untuk bas pelancong dan kereta.
“Pada saya, belakang Centrum dekat McDonald’s adalah lokasi yang sesuai atau diwujudkan Centrum 2,” katanya.
Jelasnya, selain Kea Farm, lokasi-lokasi tumpuan pelancong lain yang turut berdepan masalah tempat letak kenderaan serius adalah Tringkap, Brinchang dan Tanah Rata.










