Junta tentera Myanmar bunuh lebih 5,000 orang awam

Junta tentera Myanmar bunuh lebih 5,000 orang awam

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Rakyat Mandalay (MDY-PDF) berkawal berhampiran barisan hadapan ketika pertempuran dengan tentera Myanmar, di utara Negeri Shan, tahun lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kes pembunuhan dan penahanan oleh junta tentera Myanmar semakin meningkat dalam usaha menutup mulut pihak lawan dengan puluhan ribu orang ditangkap sejak rampasan kuasa lebih tiga tahun lalu.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, seramai 5,350 orang awam dibunuh oleh tentera sejak rampasan kuasa, lapor Al Jazeera.

Laporan itu sebahagiannya berdasarkan temubual jarak jauh dengan ratusan mangsa dan saksi kerana penyiasat dinafikan akses ke negara itu.

Daripada jumlah kematian itu, 2,414 orang meninggal dunia dalam tempoh April, tahun lalu hingga Jun lalu, yang meningkat 50 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Beratus-ratus orang terbunuh dalam serangan udara dan artileri.

Laporan sama mendedahkan hampir 27,400 orang ditangkap sejak rampasan kuasa dan dianggap ditempatkan di pusat latihan tentera.

Ketua Pasukan Hak Asasi PBB Myanmar, James Rodehaver berkata, Mynamar mengalami jurang hak asasi manusia yang sangat ketara.

Bercakap kepada pemberita di Geneva, Rodehaver berkata, tentera Myanmar mencipta krisis dengan memperalatkan sistem perundangan serta menjenayahkan hampir semua bentuk perbezaan pendapat terhadap percubaan untuk memerintah negara.

Jurucakap Pejabat Hak PBB, Liz Throssell memaklumkan, sekurang-kurangnya 1,853 orang mati dalam tahanan termasuk 88 kanak-kanak, sejak rampasan kuasa.

“Kebanyakan individu disahkan mati selepas menjalani soal siasat, layanan buruk dalam tahanan atau penafian akses kepada penjagaan kesihatan,” katanya.

Junta tentera merampas kuasa sejak Februari 2021, dengan menyingkirkan kerajaan awam Aung San Suu kyi yang dipilih rakyat sekaligus mencetuskan protes jalanan di seluruh negara.

Sejak itu, gerakan protes bertukar menjadi pemberontakan bersenjata yang semakin meluas dan pertempuran berterusan sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×