BEIJING: China menggesa Filipina memikirkan hubungan antara dua negara yang semakin meruncing ekoran perselisihan di Laut China Selatan (LCS).
Dalam satu ulasan yang diterbitkan hari ini oleh People’s Daily, China menyifatkan isu ketegangan di Laut China Selatan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan dua hala Manila dan Beijing.
Filipina dan China saling tuduh-menuduh antara satu sama lain berhubung beberapa insiden pelanggaran kapal di perairan berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk satu insiden pada Jun lalu apabila seorang kru kapal Filipina kehilangan jari.
Perselisihan di Laut China Selatan itu merosakkan usaha kedua-dua negara untuk memulihkan kepercayaan dan menguruskan pertikaian dengan lebih baik, termasuk menubuhkan saluran komunikasi baharu bagi penyelesaian pertikaian maritim.
“Hubungan China-Filipina berada dalam dilema dan kedua-dua negara tidak pasti dengan hala tuju yang harus diambil.
“Dialog dan rundingan adalah jalan yang tepat,” demikian menurut ulasan berkenaan.
Ulasan itu menyebut, Manila harus mempertimbangkan dengan serius masa depan hubungan China-Filipina dan bekerjasama dengan China untuk mengembalikan hubungan dua hala ke landasan yang betul.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk kawasan yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.- AGENSI










