Hezbollah tekad balas dendam terhadap Israel

Hezbollah tekad balas dendam terhadap Israel

AMBULANS dan orang ramai berkumpul di pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Amerika di Beirut, selepas letupan peranti berlaku di beberapa lokasi sekitar Lubnan, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah berjanji untuk bertindak balas terhadap Israel selepas dituduh meletupkan alat kelui atau ‘pager’ di Lubnan sehingga menyebabkan sembilan maut dan 3,000 yang lain cedera termasuk pejuang dan Duta Iran ke Beirut.

Menteri Penerangan Lubnan, Ziad Makary mengutuk serangan letupan pager – peranti yang digunakan Hezbollah dan pihak lain di Lubnan untuk menghantar mesej – sebagai pencerobohan Israel.

Hezbollah berkata, Israel akan menerima hukuman setimpal terhadap insiden letupan itu.

Tentera Israel, yang terlibat dalam pertempuran rentas sempadan dengan Hezbollah yang disokong Iran sejak perang Gaza, enggan menjawab soalan mengenai letupan tersebut.

Angka kematian meningkat kepada sembilan, manakala jumlah mangsa cedera kekal 2,750 orang, lapor Kementerian Kesihatan Lubnan.

Seorang pegawai Hezbollah berkata, insiden itu adalah pelanggaran keselamatan terbesar bagi kumpulan tersebut dalam hampir setahun konflik dengan Israel.

Kumpulan pejuang Hamas berkata, letupan alat kelui adalah peningkatan yang hanya akan mengheret Israel kepada kegagalan dan kekalahan.

Sementara itu, Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya peningkatan yang membimbangkan dalam konflik berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) pula menegaskan tidak terlibat dalam letupan itu dan tidak mengetahui pihak bertanggungjawab dalam serangan tersebut.

Susulan itu, Washington mengulangi gesaan untuk mengambil jalan penyelesaian diplomatik bagi menangani ketegangan antara Israel dan Lubnan.

SEMBUNYI BAHAN LETUPAN

Agensi perisikan Israel, Mossad meletakkan bahan letupan di dalam 5,000 peranti alat kelui yang diimport kumpulan Hezbollah beberapa bulan, sebelum kejadian letupan kelmarin.

Sumber keselamatan Lubnan berkata, peranti komunikasi itu diimport daripada Gold Apollo yang berpangkalan di Taiwan, namun syarikat itu menafikan dakwaan tersebut.

Pengasas Gold Apollo, Hsu Ching-Kuang berkata, peranti itu dibuat oleh sebuah syarikat di Eropah, BAC yang mempunyai lesen untuk menggunakan jenamanya.

“Produk itu bukan milik kami. Cuma ia mempunyai jenama kami.

“Kami hanya menyediakan kebenaran tanda dagangan dan tidak terlibat dalam reka bentuk atau pembuatan peranti ini,” kata Hsu kepada pemberita di pejabat syarikat itu di bandar New Taipei, utara Taiwan, semalam.

Sumber keselamatan Lubnan mengenal pasti model alat kelui, AP924, yang sama seperti peranti lain menerima dan memaparkan mesej teks tanpa wayar, namun tidak boleh membuat panggilan.

Namun, menurut sumber itu, peranti terbabit diubah suai oleh perkhidmatan perisikan Israel pada peringkat pengeluaran.

“Mossad memasukkan papan litar di dalam peranti mengandungi bahan letupan yang menerima kod. Ia sangat sukar dikesan, bahkan dengan mana-mana peranti atau pengimbas,” katanya.

Sumber itu berkata, 3,000 alat kelui meletup apabila mesej berkod dihantar kepada mereka, secara serentak mengaktifkan bahan letupan.

Menurut Reuters, sehingga tiga gram bahan letupan disembunyikan dalam alat kelui baharu dan tidak dapat dikesan oleh Hezbollah selama berbulan-bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN