WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris menerima syarat-syarat yang ditetapkan untuk berdebat dengan bekas Presiden Donald Trump, minggu depan.
Harris tetap akur dengan syarat yang dikemukakan termasuk larangan menghidupkan mikrofon sepanjang perdebatan, walaupun menyedari ia hanya akan merugikannya untuk melakukan sesi celahan dan bidasan.
Syarat itu diumumkan melalui surat daripada kempen Harris kepada rangkaian hos ABC News,
Kempen Presiden, Joe Biden sebelum ini menetapkan mikrofon tidak dibunyikan, kecuali bagi calon yang sedang bercakap, sebagai syarat untuk menerima sebarang debat tahun ini.
Antara keputusan tersebut dibuat ialah memastikan pengundi dapat dilindungi daripada mendengar letusan kemarahan Trump semasa debat pada Jun lalu.
Namun, persembahan buruk yang ditampilkan oleh Biden telah menyumbang kepada pengundurannya daripada kempen pada pilihan raya kali ini.
Selepas Harris menggantikan Biden dan menjadi calon dari parti Demokrat untuk presiden, kempen beliau mencadangkan agar mikrofon dibiarkan hidup sepanjang debat, dengan menyatakan amalan tersebut akan membolehkan pertukaran substansial antara calon-calon.
Namun, pada Rabu, menerusi surat yang diperoleh The Associated Press, penasihat Harris menulis bekas pendakwa raya itu akan mengalami kerugian besar dengan format ini, yang akan melindungi Donald Trump daripada pertukaran idea secara langsung dengan Naib Presiden.
“Kami mengesyaki ini adalah sebab utama mengapa kempen beliau (Trump) menegaskan pembisuan mikrofon,” tambah kempen beliau.
Meskipun dengan kebimbangan tersebut, kempen Harris memahami serta menerima peraturan tersebut.
Trump pula mengancam untuk tidak hadir pada debat kali ini jika Harris tidak menyukai format yang dipilihnya.
Menurut seorang pegawai kempen Harris, sekumpulan wartawan akan berada di lokasi untuk mendengar apa yang mungkin cuba dikatakan oleh calon semasa mikrofonnya dibisukan serta butiran ini tidak termasuk dalam peraturan penuh debat yang turut dikeluarkan oleh ABC yang pada asasnya sama seperti debat antara Trump dan Biden, Jun lalu.
Pegawai kempen Harris yang tidak mahu dikenali berkata, calon yang kerap mengganggu akan menerima amaran daripada moderator, dan mikrofon kedua-dua calon boleh diaktifkan jika terdapat perbincangan silang yang ketara supaya penonton dapat memahami apa yang sedang berlaku.- AGENSI










