GISBH: Polis tahan 200 individu

GISBH: Polis tahan 200 individu

GISBH
POLIS Kontinjen Selangor menyerbu pusat perniagaan dimiliki rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, semalam dan merampas pelbagai barangan bukti bagi membantu siasatan kes berkenaan. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis telah menahan 200 orang termasuk 17 individu yang memegang jawatan tinggi di Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dalam operasi sejak Rabu lalu.

Penahanan mereka dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah iaitu di Sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman mereka.

“Sebanyak 23 orang lagi diberi jaminan polis atas sebab tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

“Serta satu di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) di Sungai Kapar, Selangor.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek telah berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan,” jelasnya.

Beliau menambah, kesemua mangsa berusia 18 tahun yang di­selamatkan akan diserahkan kepada waris manakala yang berusia 18 tahun ke bawah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Razarudin berkata, PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan terperinci dalam kes itu.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.

“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membuat laporan bagi sekian kalinya di mana-mana balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×