Filipina terus tempatkan kapal di Terumbu Sabina

Filipina terus tempatkan kapal di Terumbu Sabina

TERUMBU Sabina terletak di barat Palawan dengan Filipina, dalam zon ekonomi eksklusif negara itu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina akan terus menempatkan kapal di Terumbu Sabina yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, selepas sebuah kapalnya kembali ke pelabuhan setelah penugasan selama lima bulan di sana.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jay Tarriela, dalam satu sidang akhbar hari ini berkata, pihaknya akan mengekalkan kehadiran di perairan itu.

Kapal PCG, Teresa Magbanua, dikerah ke Terumbu Sabina pada bulan April lalu untuk memantau apa yang didakwa Manila sebagai aktiviti pengambilan tanah berskala kecil oleh China di kawasan tersebut.

Tarriela berkata, pengunduran kapal itu tidak berkaitan dengan tuntutan China agar Manila menarik balik kapal mereka, tetapi untuk memperbaiki badan kapal dan memenuhi keperluan perubatan anak kapal.

Terumbu Sabina yang dirujuk China sebagai Terumbu Xianbin dan Filipina sebagai Terumbu Escoda, terletak di barat Palawan di Filipina, dalam zon ekonomi eksklusif negara tersebut.

“Tanpa mengira saiz kapal atau bilangan kapal, objektif utama dan komitmen PCG adalah untuk memastikan bahawa pada setiap masa, akan ada kehadiran pengawal pantai di terumbu tersebut,” kata Tarriela.

Pengawal Pantai China semalam menyatakan akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di perairan di bawah bidang kuasa Beijing, sesuai dengan undang-undang dan menjaga kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritimnya.

China menuntut beberapa kawasan di Laut China Selatan, yang bertindih dengan zon maritim Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Pada tahun 2016, Tribunal Timbang Tara The Hague membatalkan tuntutan luas dan sejarah China, keputusan yang ditolak Beijing. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN