BRASILIA: Lima hakim Mahkamah Agung Brazil sebulat suara mengekalkan larangan terhadap platform media sosial X milik jutawan terkenal, Elon Musk di negara itu.
Keputusan itu menyokong larangan yang dikuatkuasakan Hakim Alexandre de Moraes Sabtu lalu, untuk melarang operasi X di Brazil.
Larangan terbabit dibuat Moraes selepas X mengabaikan perintah mahkamah untuk menamakan wakil undang-undang di negara Amerika Selatan itu.
Hakim Flavio Dino berkata, syarikat yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan sesebuah negara tidak boleh dibenarkan beroperasi.
“Pihak yang sengaja enggan mematuhi keputusan mahkamah menganggap mereka lebih berkuasa daripada undang-undang,” katanya seperti laporan Al Jazeera.
Hakim Carmen Lucia dan Luiz Fux juga menyokong Moraes, menjadikan keputusan tersebut sebulat suara.
Bagaimanapun, beberapa hakim menyatakan bahawa penggantungan tersebut boleh dibatalkan jika X mematuhi keputusan mahkamah sebelum ini.
Perintah asal Moraes yang dikeluarkan Jumaat lalu menyifatkan Musk sengaja membenarkan penyebaran besar-besaran maklumat palsu, menghasut kebencian dan melakukan serangan terhadap peraturan undang-undang demokratik.
Larangan itu akan kekal sehingga X mematuhi perintah Moraes dan membayar denda tertunggak melebihi AS$3 juta (RM13.14 juta).
Musk yang membeli X pada tahun 2022, mengkritik langkah tersebut dan menggelar Moraes diktator jahat serta menuduhnya cuba memusnahkan demokrasi di Brazil.- AGENSI










