Bersediakah Israel lawan Hezbollah?

Bersediakah Israel lawan Hezbollah?

PEMIMPIN dan ahli Hezbollah menghadiri pengebumian pejuang serta mangsa yang terbunuh dalam letupan alat kelui di seluruh Lubnan, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel kini bersiap sedia menghadapi peningkatan konflik dengan Lubnan setelah Menteri Pertahanannya mengisytiharkan permulaan fasa baharu dalam peperangan, susulan dua serangan peranti di negara itu, dua hari berturut-turut.

Bayangan pertempuran habis-habisan antara Israel dan kumpulan Hezbollah kelihatan semakin terserlah berbanding sebelum ini.

Bahkan, harapan untuk penyelesaian diplomatik juga semakin pudar apabila Israel memberi isyarat untuk mengubah status quo di utara negara, yang menjadi kubu pertempuran rentas sempadan dengan Hezbollah sejak kumpulan itu menyerang pada 8 Oktober, tahun lalu.

Kebelakangan ini, Israel mula menggerakkan pasukan tempur ke sempadan utara dan Kabinet keselamatan negara menetapkan pengembalian puluhan ribu penduduk yang dipindahkan ke rumah mereka sebagai matlamat perang rasmi.

Namun, apakah Israel benar-benar bersedia berdepan peperangan baharu dengan Lubnan, sedangkan tenteranya belum mencapai kemenangan mutlak di kubu kuat pejuang Hamas di Gaza?

PINDAH PASUKAN DARI GAZA

Walaupun pertempuran harian antara Israel dan Hezbollah meningkat beberapa kali, kedua-dua seteru ini masih berhati-hati untuk mengelakkan peperangan habis-habisan.

Namun, keadaan itu nampaknya sedang berubah, terutama selepas insiden letupan alat kelui dan walkie-talkie, peralatan solat dan peranti lain di Lubnan pada Selasa dan Rabu, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 kematian dan ribuan lagi cedera.

Kumpulan Hezbollah menyalahkan Israel sebagai pihak yang mendalangi serangan tersebut.

Ketika pertempuran di Gaza semakin perlahan, Israel memperkukuhkan pasukan di sepanjang sempadan dengan Lubnan, termasuk penglibatan divisyen tentera terkuat minggu ini, yang pernah mengambil bahagian dalam beberapa pertempuran sengit di Gaza.

Divisyen ke-98 didakwa mengandungi ribuan tentera, termasuk unit infantri payung terjun, artileri dan pasukan komando elit khas yang dilatih untuk operasi di belakang barisan musuh.

Pasukan ini memainkan peranan utama di Gaza, menerajui operasi tentera di bandar Khan Younis di selatan, kawasan kubu kuat pejuang Hamas.

Tentera Israel juga mendakwa, pasukannya akan mengadakan satu siri latihan minggu ini di sepanjang sempadan.

PERANG BESAR

Media Israel melaporkan kelmarin, kerajaan Tel Aviv belum memutuskan sama ada untuk melancarkan serangan besaran-besaran di Lubnan.

Keputusan itu didakwa bergantung kepada tindak balas Hezbollah, yang sebelum ini tekad mahu membalas dendam terhadap serangan letupan di Lubnan.

Namun, sentimen awam di Israel nampaknya menyokong tindakan lebih tegas terhadap kumpulan Hezbollah.

Tinjauan Institut Demokrasi Israel, sebuah badan pemikir Baitulmuqaddis, mendapati 67 peratus Yahudi berpendapat Israel harus meningkatkan tindak balasnya terhadap Hezbollah.

Majoriti percaya Israel harus melancarkan serangan yang lebih hebat, termasuk menyerang infrastruktur Lubnan.

Jika ketegangan yang diinginkan rakyat Israel menjadi kenyataan, peperangan baharu ini hampir pasti akan memusnahkan kedua-dua belah pihak.

Sejak 8 Oktober, lebih 500 orang terbunuh di Lubnan akibat serangan Israel, kebanyakannya pejuang Hezbollah dan kumpulan bersekutu lain, tetapi terdapat lebih 100 daripadanya adalah orang awam.

Di utara Israel, sekurang-kurangnya 23 askar dan 26 orang awam terbunuh akibat serangan dari Lubnan.

Israel menyebabkan kerosakan teruk di Lubnan semasa perang sebulan menentang Hezbollah pada 2006, yang berakhir dengan kebuntuan.

Pemimpin Israel mengancam tindakan yang keras kali ini, dan berikrar untuk mengulangi adegan kemusnahan di Lubnan seperti di Gaza.

Bagaimanapun, Hezbollah juga memperkukuhkan keupayaannya sejak 2006, dengan dianggarkan 150,000 roket dan peluru berpandu dimiliki oleh kumpulan itu.

Sebahagian daripada aset ketenteraan itu dipercayai mempunyai sistem panduan yang boleh mengancam sasaran sensitif di Israel.

Hezbollah juga membangunkan armada dron yang semakin canggih dan dengan keupayaan itu, kumpulan pejuang Lubnan tersebut mampu menghentikan seluruh kehidupan di Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×