WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendakwa beberapa pemimpin utama Hamas atas kesalahan berperanan dalam merancang, menyokong dan menjalankan serangan di Israel pada 7 Oktober, tahun lalu.
Dakwaan itu melibatkan Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar dan lima yang lain, termasuk Ismail Haniyeh, Mohammad Al-Masri, Marwan Issa, Khaled Meshaal dan Ali Baraka.
Bagaimanapun, tiga daripada tertuduh, iaitu Haniyeh, Mohammed Deif dan Marwan Issa, sudah meninggal dunia.
Mereka didakwa dengan tujuh pertuduhan, termasuk konspirasi membiayai keganasan, pembunuhan warga AS dan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.
Serangan itu mencetuskan tindak balas Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 40,800 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan.
Pendakwaan memperincikan bagaimana serangan berlaku dan penglibatan defendan sehingga mencetuskan konflik di rantau itu.
“Pada 7 Oktober 2023, Hamas melakukan serangan yang paling ganas, berskala besar setakat ini.
“Pada awal pagi, Hamas menghantar lebih 2,000 pejuang bersenjata ke ladang dan bandar di selatan Israel, serta melakukan pembunuhan beramai-ramai dan menculik 200 yang lain,” menurut jabatan itu.
Pendakwaan turut menyatakan, kumpulan pejuang itu menggunakan serangan seksual dan merogol wanita Israel dalam serangannya.
Menurut pendakwa raya, sehingga tarikh tuduhan, sekurang-kurangnya 43 warga Amerika dibunuh dan kira-kira 10 lagi dijadikan tebusan dengan nasib mereka tidak diketahui.
Pertuduhan pada asalnya difailkan pada 1 Februari 2024, tetapi dirahsiakan sekiranya Jabatan Kehakiman berpeluang menangkap mana-mana tertuduh, menurut seorang pegawai.
Keputusan untuk mengumumkan tuduhan itu dibuat selepas kematian Haniyeh.- CNN










