PASIR PUTEH: Kesempitan hidup memaksa seorang anak nelayan yang memperolehi keputusan cemerlang 3.92 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 menolak tawaran menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) awal bulan depan.
Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas kedua-dua ibu bapanya tidak mampu menyediakan wang pendaftaran berjumlah RM1,020.
“Pendapatan ayah (Awang Mat Nor, 62) sebagai nelayan pantai tidak menentu, jadi agak sukar untuk mengumpul wang. Lagipun tarikh pendaftaran sudah semakin hampir iaitu 4 Oktober depan.
“Saya menerima tawaran menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Sastera pada 6 September lalu. Perasaan saya memang cukup gembira ketika itu, namun bila memikirkan soal kewangan dan kudrat ayah, keterujaan untuk menyambung pengajian menjadi kendur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Sementara itu, Awang mendedahkan, pendapatannya sebagai nelayan sekitar RM30 hingga RM50 sehari hanya cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, merumitkan lagi keadaan ada kalanya dia pulang dengan tangan kosong sekali gus menyukarkan dia untuk menabung.
“Saya mungkin akan dirundung rasa bersalah jika Wan Nur’alyaa gagal ke USM. Kami ada bercadang untuk mengadakan jamuan makan laksa untuk memungut derma.
“Berkemungkinan besar kami tidak dapat berbuat demikian kerana beberapa kekenangan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan dengan menghubungi Wan Nur’alyaa (013 7871229). – UTUSAN











