SEREMBAN: Sebanyak 63 butir bom lama zaman perang atau Unexploded Explosive Ordnance (UXO) telah ditemukan di Negeri Sembilan sejak tahun 2020 dengan daerah Jempol mencatatkan jumlah penemuan tertinggi iaitu sebanyak 19 butir bom.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ia diikuti daerah Tampin dengan sebanyak 14 butir, Kuala Pilah (8), Seremban (6) dan Rembau (4) serta di Nilai dan Jelebu masing-masing menemukan tiga butir bom lama dalam tempoh berkenaan.
“Jumlah bom lama yang sudah dimusnahkan dalam Kontinjen Negeri Sembilan bermula tahun 2015 sehingga ke tahun ini adalah sebanyak 412 butir UXO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada tahun 2021 akhbar ini melaporkan Negeri Sembilan merupakan antara lima buah negeri yang mencatatkan banyak penemuan bom-bom lama dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.
Ia adalah berdasarkan rekod Pusat Data Bom Malaysia (MBDC), Cawangan Persenjataan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada 9 September lalu, media melaporkan sebutir bom lama UXO jenis mortar berukuran 36 sentimeter panjang ditemukan oleh seorang pekerja ladang di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Batu Belang, Tampin.
Sementara itu, menurut Ahmad Dzaffir kebanyakkan bom-bom lama di negeri ini ditemukan di dalam kawasan hutan dan ladang kelapa sawit.
“Ia apabila pihak syarikat ingin menanam semula sawit iaitu semasa proses meratakan tanah untuk penanaman semula lalu bom lama dijumpai.
“Saya menasihatkan kepada orang ramai, jika mereka menemukan objek disyaki bom-bom lama perlu terus segera laporkan kepada pihak polis dan yang paling penting jangan usik dan mengalihkan bom tersebut,” katanya lagi.











