KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercayai Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) dengan keahlian dianggarkan 10,000 orang masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada tahun 1994.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengesahan tersebut berdasarkan hasil penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat tersebut ketika serbuan di beberapa premis GISBH dalam Op Global fasa keempat bermula 21 September lalu.
“Kita percaya, daripada risikan dan keterangan GISBH ini masih mengamalkan tarekat ini (Aurad Muhammadiyah) kerana ada buku, ada zikir.
“Terdapat barangan disyaki bertentangan dengan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarikat ini dimulakan Al-Arqam yang kemudian difatwakan sesat pada 1994.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini,” kata beliau pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur semalam.
Menurut beliau, siasatan polis masih diteruskan secara berfasa meliputi semua peruntukan undang-undang sedia ada termasuk kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.
Beliau berkata, siasatan terhadap amalan GISBH dijalankan secara berhati-hati untuk memastikan tindakan terhadap kumpulan tersebut dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh.
“Ada dua tiga perkara yang perlu dijelaskan dalam perkara ini. Bagi pihak PDRM, kita akan menyiasat di bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Pemerdagangan Manusia dan akta-akta lain.
“Manakala untuk akidah, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) uruskan. Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan menentukan adakah ini akidah yang betul.
“Mengenai tindakan mengikut SOSMA, kita juga ke arah itu,” katanya.
Razarudin berkata, pihaknya percaya GISBH mempunyai keahlian yang dianggarkan kira-kira 10,000 termasuk kanak-kanak di seluruh negara.
Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan turut mendapati terdapat ahli-ahli GISBH sudah melarikan diri apabila pemeriksaan terhadap 221 premis GISBH yang kosong.
“Op Global fasal keempat bermula kelmarin menyerbu 280 premis di semua negeri di Semenanjung. Daripada jumlah itu, 59 premis berjaya diserbu manakala 221 premis sudah dikosongkan dipercayai ditinggalkan selepas ahli GISBH dipercayai melarikan diri,” katanya.
Katanya, dalam serbuan itu, polis antaranya menyita 445 naskhah, risalah dan logo GISBH.
“Turut disita janggut disyaki milik kepimpinan GISBH dalam serbuan di premis di Rawang. Semua sitaan itu akan diserah kepada Jakim untuk tindakan dan siasatan lanjut,’ kata beliau
Katanya, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita ditangkap, berusia antara 18 hingga 65 tahun dan ke atas.
“Manakala seramai 187 mangsa berumur 18 tahun dan ke bawah berjaya diselamatkan,” katanya.
Justeru, kata beliau, pihak polis memohon ahli-ahli GISBH yang melarikan diri tampil agar pihak kerajaan dapat memberikan bantuan yang sepatutnya.
“Kita percaya GISBH telah lumpuh menerusi operasi, serbuan dan sitaan dijalankan pihak polis,” katanya.
“Kesemua 156 individu yang ditahan dalam Fasa 4 Op Global kini direman bermula hari ini (semalam) hingga 18 September ini,” katanya. – UTUSAN










