Warta kubur mangsa komunis dalam masjid sebagai lokasi sejarah

Warta kubur mangsa komunis dalam masjid sebagai lokasi sejarah

NIK Hassan Nik Jaafar (kiri) menjaga kubur arwah ibu saudaranya, Nik Mah Nik Soh dengan membersihkannya secara berkala di Kampung Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebuah kubur seorang wanita sarat mengandung mati dibunuh komunis kira-kira 81 tahun lalu yang terletak di dalam Masjid Razaleigh di Bandar Lama di sini, perlu diwartakan sebagai lokasi bersejarah.

Kubur yang berada di tengah-tengah masjid itu tersemadi jasad seorang wanita sarat mengandung, Nik Mah Nik Soh berusia dalam lingkungan 20-an yang mati dibunuh kejam oleh komunis pada 1943.

Waris yang juga anak saudara Nik Mah, Nik Hassan Nik Jaafar, 64, berkata, kubur berkenaan wajar dipelihara dan dijaga sebagai bahan tinggalan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Katanya, kubur yang berada di ruangan solat masjid itu masih menjadi persoalan kepada para jemaah yang singgah di situ kerana ramai yang tidak mengetahui mengenai sejarah dan kewujudannya.

“Mengikut catatan diari bapa saya yang juga bekas Penggawa Hulu Kelantan, Nik Jaafar Nik Soh, peristiwa serangan pengganas komunis berlaku di Gua Musang pada 1 Januari 1943 sehingga ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh.

“Nik Mah yang sarat mengandung lapan bulan dipercayai ditembak bersama 25 lagi orang Melayu yang berlindung dalam longkang berhampiran madrasah itu,” katanya ketika ditemui Bandar Lama di sini semalam.

Nik Hassan memberitahu, kubur tersebut pada asalnya terletak di luar masjid dan dipindahkan apabila masjid baharu dibina lebih 50 tahun lalu.

Katanya, kubur itu sebelum ini dapat dilihat secara jelas, namun atas saranan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), ia ditutup dengan kotak dan rak kayu supaya tidak mengganggu tumpuan jemaah semasa menunaikan solat.

“Saya berharap pihak berwajib dapat mewartakan dan memelihara kubur ini termasuk membuat papan tanda bersesuaian bagi memberi hebahan kepada orang ramai.

“Kebanyakan jemaah sudah berpindah ke Masjid Razaleigh yang baharu dan saya berharap pusara ini dapat dinaik taraf dengan sempurna terutamanya dengan meletakkan pagar dan batu nisan.

Jadi, saya minta pihak berwajib dapat membantu kerana ia merupakan satu sejarah yang patut dihebahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN