KLUANG: Seorang pemilik kedai barang lusuh warga emas berusia 74 tahun antara tujuh individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam enam kes curi kabel tembaga di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, enam suspek lain termasuk seorang remaja 16 tahun yang tidak bersekolah kerana disyaki terbabit dalam kes pecah sebuah sekolah di Machap pada 13 Julai lalu.
Polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta Proton Wira, telefon bimbit, projektor, empat guni berisi kabel tembaga dan menemui semula 13 komputer riba yang membabitkan kerugian kira kira RM25,000.
“Pada 13 Julai lalu, polis menerima laporan dari seorang lelaki berkaitan kes pecah masuk sekolah dan kecurian.
“Susulan kejadian ini, pada 30 Julai hingga 2 Ogos lalu, dari 1 hingga 4.30 petang, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan tujuh lelaki tempatan.
“Hasil soal siasatan dijalankan terhadap suspek yang berusia 16 hingga itu telah berjaya menyelesaikan tujuh kes jenayah yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM25,000,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Warga emas berkenaan pula disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda atau penjara, katanya sambil memberitahu semua suspek kini direman selama empat hari hingga esok. – UTUSAN










