PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Meta supaya tidak menjadi bacul dan perkakas zalim rejim Zionis selepas sekali lagi menurunkan hantaran media sosial mengenai pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.
Perdana Menteri berkata, Meta biadab dan menghina rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video dan ucapan takziah serta kritikan terhadap pejuang berkenaan.
“Meta sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Allahyarham Ismail Haniyeh.
“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut penjelasan dan permohonan maaf Meta kerana menurunkan hantaran bergambar pertemuan Anwar dengan Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar, yang dimuatnaik di laman Instagram.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengecam tindakan diambil oleh Meta terhadap hantaran menerusi akaun Perdana Menteri.
Pada 14 Mei lalu, Anwar yang dalam rangka kerja di Doha, Qatar sempat meluangkan masa untuk bertemu Ismail Haniyeh dan Khaled Marshal.
Dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang dibom rejim Zionis.
Bagaimanapun, semalam, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan yang dilakukan ke atas kediamannya di Teheran, Iran.
Beliau berada di Teheran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu. – UTUSAN










