PONTIAN: Badan Perhubungan UMNO Johor terbuka untuk berunding dengan parti Amanah bagi menyelesaikan isu melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dari segi prinsip isu calon dan parti mana bertanding tidak seharusnya timbul berdasarkan persefahaman sedia ada antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Mengenai hal-hal lain itu (kedudukan atau syarat) boleh dirunding. Saya bukan mahu nyatakan apa-apa keputusan di sini, namun tentunya perundingan boleh dibuat dan ia bolehlah dibawa ke peringkat negeri,” katanya ditemui selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Mesyuarat Agung Dwitahunan PAWE, di sini hari ini.
Minggu lalu, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang dijangka diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain mendesak parti berkenaan diberi peluang bertanding kerana pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berharap isu kerusi DUN Mahkota tidak mencetus polemik berpanjangan dan mengeruhkan hubungan PH-BN Johor yang baik.
“Bagi saya ia perkara kecil yang tak perlu digembar-gemburkan dalam media. Kita pun malas nak bertelagah di khalayak ramai terhadap perkara sebegini apatah lagi sesama kawan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Katanya, secara prinsip pada PRK sebelum ini, termasuk di Kuala Kubu Bharu, Sungai Bakap, Pelangai, Pulai, Simpang Jeram dan Nenggiri, PH-BN menggunakan persefahaman atau formula, parti yang menyandang kerusi, akan bertanding semula di situ. – UTUSAN











