TUMPAT: Tujuh daripada 14 beradik di Kampung Tanjung Kuala di sini kental menguruskan bapa mereka yang diserang penyakit strok secara bergilir-gilir selain perlu menjaga dua kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Nor Syakirah Md. Nor, 26, berkata, tugas tersebut terpaksa dipukul dia dan enam beradik lain selepas kematian ibu pada Mei lalu.
Menurutnya, sebelum ini arwah ibu mereka, Anisah Wan Hassan merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan ayah dan dua kakak terbabit.
“Kakak Normala, 41, mengalami masalah lembam manakala Nor Asyikin, 29, mengidap sindrom down. Ayah pula kadang-kadang bertindak agresif mahu mencabut saluran tiub di dihidungnya.
“Kami akan bergilir untuk tiga sesi iaitu pagi, tengah hari dan malam melibatkan empat adik beradik perempuan dan tiga lelaki. Kesemua adik-beradik lelaki akan menjaga ayah waktu malam kerana siang hari mereka bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Syakirah memberitahu, ayahnya, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu kereta sewa menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan wang itu digunakan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.
“Memang tak cukup, tapi kami adik-beradik akan keluarkan wang sedikit seorang demi ayah walaupun kebanyakan kami hanya bekerja buruh dan anak-anak perempuan pula surirumah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional Md. Nor Yaakub 03108-29-000052474 atau hubungi di talian 019-9231990.










