SEREMBAN: Tiga pekerja lelaki berusia 27 hingga 54 tahun terselamat dalam insiden kebocoran gas ammonia di sebuah premis di Jalan Stesyen Kuala Sawah, Kampung Sega, Rantau, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Mohd. Syazwan Saidy berkata, seramai 15 anggota serta pegawai termasuk dari Unit Khas Hazmat Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kebocoran tersebut kira-kira pukul 11.38 pagi.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, pemandu lori iaitu lelaki berusia 27 tahun membawa muatan 10 tong iaitu 680 kilogram gas ammonia dari Tangga Batu, Melaka.
“Semasa membuat penurunan tabung tong tersebut didapati dua tong tergelincir jatuh ke bawah mengakibatkan satu daripada tong tersebut didapati injap tercabut lalu mengakibatkan kebocoran.
“Pekerja telah membuat tindakan awal menyiram di tong tersebut dan pada masa yang sama menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi meminta bantuan pihak bomba.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba telah membuat semburan di tempat kejadian, serta membuat pengungsian bangunan kepada pekerja premis tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Syazwan lagi, unit Khas Hazmat telah mengenal pasti bahan kebocoran tong gas tersebut dan mengambil bacaan udara persekitaran serta membuat kerja-kerja ‘plugging’ kepada kebocoran tong tersebut.
“Setelah selesai kerja-kerja nyah cemar oleh Unit Khas Hazmat sekali lagi membuat bacaan udara persekitaran agar memastikan keadaan dalam keadaan baik. Operasi tamat pada pukul 1.42 petang,” katanya.-UTUSAN.










