Teroka tanah hutan di Nenggiri: Kelantan luluskan 48, bukan 54

Teroka tanah hutan di Nenggiri: Kelantan luluskan 48, bukan 54

MOHAMAED Fadzli Hassan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan pihaknya hanya meluluskan 48 permohonan penerokaan tanah hutan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan bukan 54 sebagaimana yang dibangkitkan oleh Barisan Nasional (BN) Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan menegaskan isu tersebut tidak tepat dan segala permohonan projek berkait pembangunan ladang itu dibuat mengikut prosedur termasuk proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Tegasnya lagi, syarikat yang dipilih untuk mengendalikan cukup berwibawa dan mampu untuk melaksanakan.

“Kita (kerajaan negeri) bagi kelulusan itu kepada syarikat yang layak mengikut prosedur yang ditetapkan berkaitan penerokaan dan bukan boleh teroka secara haram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, Kerajaan Kelantan mengingatkan BN supaya tidak membuat sebarang tuduhan secara melulu sebaliknya perlu menyemaknya terlebih dahulu.

“Musim sekarang ini buat tuduhan mudah namun di pihak kerajaan, kami perlu dapatkan fakta yang tepat dan sahih sebelum menjawab perkara tersebut.

“Dalam hal ini, saya minta pihaknya bertanya tolong dapatkan fakta yang betul terlebih dahulu sebelum mengambil satu-satu tindakan,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, sejak Pas mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990 lalu sehingga sekarang kerajaan negeri sudah meluluskan lebih 85,000 permohonan rakyat untuk mendapatkan tanah-tanah kerajaan.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Barisan Nasional (BN) mendedahkan Kerajaan Kelantan telah meluluskan lebih 13,0200 hektar penerokaan tanah hutan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak tahun 2022.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) BN DUN Nenggiri Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kelulusan penerokaan hutan itu atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong melibatkan hutan Ulu Nenggiri dan Mukim Bertam.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN