Tamatkan mogok, polis Bangladesh kembali bertugas

Tamatkan mogok, polis Bangladesh kembali bertugas

PASUKAN polis bersetuju menamatkan mogoknya selepas mengadakan perbincangan dengan kerajaan interim baharu diketuai Muhammad Yunus.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Polis Bangladesh hari ini menyambung semula tugas selepas keadaan kembali tenang berikutan protes pelajar yang mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan sehingga mengakibatkan lebih 450 orang maut.

Sebelum ini, polis bimbang untuk bertugas kerana mengelak menjadi sasaran penunjuk perasaan, selepas pasukan itu didakwa bertanggungjawab terhadap kematian dan kecederaan.

Polis enggan kembali bertugas sehingga keselamatan mereka dijamin, tetapi bersetuju selepas perbincangan lewat malam tadi dengan kerajaan interim baharu yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus.

“Persatuan polis menamatkan mogoknya malam tadi. Anda boleh lihat mereka mula meronda di jalan-jalan Dhaka,” kata jurucakap pasukan itu, Enamul Haque Sagor kepada AFP.

Protes anjuran mahasiswa menentang kerajaan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina berlangsung dengan aman sehingga polis menyuraikan penunjuk perasaan secara ganas atas arahan kerajaan.

Kesatuan polis nasional melaporkan, sebanyak 450 daripada 600 balai polis di seluruh negara menjadi sasaran serangan vandalisme dan insiden kebakaran sepanjang bulan lalu.

Beberapa balai polis telah dibuka semula akhir minggu lalu di bawah kawalan tentera, yang dihormati kerana enggan menyertai tindakan keras tersebut.

Semasa ketiadaan polis, kumpulan mahasiswa yang memimpin protes, menawarkan diri untuk memulihkan ketenteraman awam selepas Hasina dilaporkan melarikan diri ke India susulan peletakan jawatannya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×