SEREMBAN: Pasukan sofbol wanita Negeri Sembilan mengintai peluang meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang akan bermula 17 Ogos ini.
Ketua Jurulatih, Muhammad Afnan Abdul Azizi berkata, walaupun mengakui bakal berdepan cabaran sukar namun kesemua pemain Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan cukup bersedia selepas menjalani latihan sejak bulan Januari lalu.
“Peluang sudah semestinya ada malah sasaran kami ingin mendapat pingat emas kerana persediaan skuad telah pun dijalankan sejak bulan Januari.
“Melihat perkembangan pasukan ini semakin meningkat dan jika tiada sebarang kecederaan dialami pemain saya yakin kilauan emas boleh dicapai,” katanya ketika ditemui pada sesi latikan pasukan itu di Nilai di sini semalam.
Muhammad Afnan dalam pada itu menambah, persiapan rapi juga telah diadakan termasuk mengukur keupayaan menerusi beberapa perlawanan persahabatan selain latihan di Filipina selama seminggu.
“Saya lihat pasukan yang akan beri tentangan hebat adalah Johor dan Perak kerana mengikut kejohanan lepas mereka sentiasa bersaing di tempat pertama dan kedua jadi kami ingin menamatkan dominasi mereka” katanya lagi.
Jelas beliau, kehadiran tiga orang pemain kebangsaam iaitu Anum Maisara Zulkiply, Nur Misya Nadhirah Azwan dan Alia Syuhada Zainudin pasti akan menguatkan lagi pasukan Negeri Sembilan untuk mencipta kejutan.
“Barisan skuad sofbol Wanita Negeri Sembilan kali ini adalah rata-ratanya mereka yang sudah lama bermain bersama iaitu di peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) dalam tempoh tiga tahun, dalam tempoh itu, momentum serta keserasian antara pemain juga sudah terbentuk,” katanya.
Muhammad Afnan menjelaskan, pasukannya sedang melakukan persiapan terakhir dengan memberi penekanan terhadap latihan situasi permainan.










