Sentuh 3R, Muhyiddin berdepan pertuduhan di Mahkamah Gua Musang esok

Sentuh 3R, Muhyiddin berdepan pertuduhan di Mahkamah Gua Musang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, di sini esok selepas menyentuh isu 3R iaitu Raja, agama dan kaum (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pagoh menyentuh isu itu semasa berucap pada Ceramah Umum PRK DUN Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Perasu.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, pendakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan dilakukan esok di Mahkamah Gua Musang.

Sebelum itu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Susulan kenyataan itu, polis menerima sebanyak 30 laporan polis berkait ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN kerana beliau didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, baru-baru ini.

Berikutan itu pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Pengerusi PN berkenaan yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Rabu lalu Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×