PARIS: Kemelut politik di Perancis berlarutan selepas Presiden, Emmanuel Macron enggan melantik Perdana Menteri dari gabungan sayap kiri yang memenangi kerusi Dewan Perwakilan terbanyak dalam pilihan raya, bulan lalu.
Sebelum ini, Macron berharap rundingan boleh memecahkan kebuntuan politik selepas keputusan pilihan raya menyaksikan tiada pakatan politik utama yang mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Namun, selepas dua hari perbincangan, keputusan Macron untuk tidak memilih calon Perdana Menteri dari Parti Barisan Popular Baharu (NFP) mencetuskan kemarahan memandangkan parti tersebut memperoleh kerusi terbanyak, lebih 190 kerusi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, Istana Presiden Elysée menggambarkan perbincangan pada Jumaat lalu, sebagai adil, namun gagal mencapai kata sepakat.
“Kerajaan yang dibentuk oleh gabungan sayap kiri NFP, La France Insoumise (LFI), Parti Sosialis (PS), Parti Hijau (EELV) dan Parti Komunis (PCF) boleh mengakibatkan undi tidak percaya dan kejatuhan segera kerajaan.
“Sekiranya berlaku, Perancis tidak akan berjaya membentuk kerajaan,” jelas Macron seperti laporan The Guardian.
Susulan itu, beliau melanjutkan satu lagi pusingan rundingan dengan pemimpin parti, semalam.
“Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya bertanggungjawab memastikan negara ini mempunyai kerajaan yang kuat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, NFP menyatakan pendirian untuk tidak menyertai perbincangan lanjut kecuali berkaitan pembentukan kerajaan.
Pada pilihan raya bulan lalu, NFP dan gabungannya memenangi lebih 190 kerusi Dewan Perwakilan, diikuti Parti Renaissance pimpinan Macron dengan 160 kerusi serta Parti Perhimpunan Nasional pimpinan Marine Le Pen dengan 140 kerusi.











