Ringgit kukuh, barang import murah

Ringgit kukuh, barang import murah

ringgit
Ringgit didagang lebih tinggi berbanding dolar berikutan keyakinan rundingan perdagangan Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengukuhan mata wang ringgit iaitu RM4.55 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) berupaya menurunkan harga jualan barangan import di pasaran tempatan jika trend itu berterusan.

Berbanding Februari lalu, ringgit menunjukkan prestasi terburuk apabila mencecah RM4.80 berbanding satu dolar AS yang mengakibatkan lonjakan harga barangan import sekali gus menjejaskan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pe­ngukuhan ringgit pada masa kini disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan eksport negara yang mencatatkan kenaikan 7.1 perstus pada suku tahun pertama iaitu kepada RM690 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, jumlah lebihan dagangan itu membabitkan RM34.22 bilion yang sekali gus membantu permintaan ringgit selain mengukuhkan kestabilannya.

“Antara faedah yang bakal dinikmati rakyat dalam jangka pendek adalah kos barangan import akan menjadi lebih murah berbanding sebelumnya.
“Ini turut akan membantu kepada pengurangan kos pengeluaran bagi syarikat tempatan dan seterusnya berupaya untuk menyumbang kepada penurunan tekanan inflasi domestik.

“Dalam erti kata lain, barangan yang diimport akan menjadi lebih murah dan berupaya menurunkan sedikit harga jualan di pasaran tempatan sekali gus meningkatkan kuasa membeli pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Kelmarin, ringgit terus melonjak apabila mencapai RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), iaitu peningkatan terbaik dalam tempoh hampir 15 bulan.
Ringgit meneruskan pe­ngukuhan untuk 10 hari berturut-turut apabila ditutup kukuh pada 4.4950/5000 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang daripada 4.5680/5740 pada Khamis.

Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, usaha berterusan kerajaan membawa masuk pelaburan asing (FDI) juga mendorong ke arah peningkatan permintaan terhadap ringgit sekali gus membantu me­ngukuh dan menstabilkan mata wang tersebut.

Menurutnya, pelaburan yang diluluskan bagi suku tahun pertama 2024 meningkat kepada 13 peratus berban­ding tahun sebelumnya dengan jumlah pelaburan mencecah hampir kepada RM84 billion.

“Pengukuhan ini akan menambahkan keyakinan pelabur asing kepada kestabilan ekonomi Malaysia dan seterusnya berupaya menarik lebih banyak kemasukan modal kewangan, infrastruktur dan fizikal aset ke dalam negara.

“Ia juga secara tidak langsung membantu kerajaan daripada sudut pembayaran dan pengurangan kos hutang luar negara yang mana akan menjimatkan serta meringankan sedikit beban kewangan Malaysia untuk jangka masa pendek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN