SEREMBAN: Seorang remaja perempuan tingkatan lima yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya di Taman College Heights, Sikamat di sini semalam telah ditemukan di Kubang Kerian, Kelantan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, remaja itu telah ditemui dalam keadaan baik di rumah keluarga kenalan lelakinya.
“Dia telah dihantar ke Balai Polis Kubang Kerian untuk dijemput pulang oleh ahli keluarga dari Seremban.
“Sebelum ini mangsa dikatakan hilang dari rumah keluarganya di Sikamat semalam sekitar pukul 6 pagi. Polis menerima maklumat kehilangan mangsa terbabit pada pukul 7.10 pagi,” katanya kepada pemberita di sini.
Semalam Utusan Online melaporkan kehilangan remaja itu, Nur Farah Diana Mohd. Erwadi, 17, disedari oleh ibunya kira-kira pukul 7 pagi.
Nor Akmar Hariri, 43, berkata, dia menyedari kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu ketika hendak mengejut pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah terbabit.
Katanya, apabila masuk ke bilik, didapati anaknya itu tiada bersama telefon bimbit, beg sekolah dan bekas alat solek.-UTUSAN.










