BATU PAHAT: Polis berjaya merampas dadah hampir RM1 juta serta menahan empat lelaki dan tiga wanita warga asing dalam serbuan ke atas sebuah apartmen di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan dan dadah bernilai RM895,662 dirampas dalam serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Batu Pahat pada pukul 7 malam, Khamis lalu.
“Dadah yang kita rampas melibatkan 5219.71 gram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM872,000, 23.17 gram pil ekstasi (RM3,250), 15.41 pil erimin 5 (RM1,120) dan ketamin 96.46 gram (RM19,292).
“Jumlah rampasan dadah ini bernilai RM895,662 yang boleh digunakan seramai 19,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.
Menurut Shahrulanuar, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bernilai RM84,800, sebuah motosikal (RM5,550) dan wang tunai (RM2,380) dengan keseluruhannya berjumlah RM92,730, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan tersebut berjumlah RM988,392.
Semua suspek direman selama tujuh hari hingga 8 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan,” katanya. – UTUSAN











