GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli perlu mempunyai strategi dengan memberi undi sama rata kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos ini.
Setiausaha Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu bertujuan memberi isyarat baik kepada PN dan BN supaya mereka tidak mempermainkan masyarakat Orang Asli.
“Orang PN dan BN pun akan sedar dan itulah yang mereka sepatutnya lakukan kena ada strategi.
“Kalau selama dia tunjuk itu sahaja menyebabkan mereka ini pada satu ketika…sebagai contoh Perdana Menteri ada mengatakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) mesti diperkasakan, hari ini apa dah jadi.
“Cakap dengan tidak menunaikan janji adalah sesuatu yang sepatutnya diambil kira oleh Orang Asli untuk membuktikan mereka tahu, sedar ada satu suara perlu di bawa pada PRK Nenggiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah memberitahu, peluang bertemu dengan masyarakat Orang Asli memperlihatkan keterbukaan mereka menerima PN.
Katanya, beliau melihat PRK Nenggiri boleh dijadikan sebagai ‘alat’ menyuarakan perasaan tidak berpuas hati kepada kerajaan.-UTUSAN










