KLUANG: Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diumumkan selewat-lewatnya 7 September ini.
Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, satu pertemuan dengan komponen parti BN serta UMNO Johor bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dilakukan petang ini.
“Segala kenyataan berkaitan PRK Mahkota hanya dapat dimaklumkan selepas itu kerana perlu mengikut garis panduan ditetapkan oleh Presiden,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan meninjau pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan semula bangunan daif sekolah berkenaan yang sudah mencapai 36 peratus, melebihi 17 peratus dari jadual ditetapkan.
Perkembangan itu akan membolehkan kantin bernilai RM2.093 juta akan dapat digunakan oleh kira-kira 800 murid serta 57 guru dan kakitangan sebaik sahaja sekolah dibuka tahun depan.
“Kita amat berharap pasukan pengurusan projek dan pembinaan dapat mengekalkan momentum ini dan menepati mutu ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa,” katanya. – UTUSAN










