PRK Mahkota: Ahmad Zahid pengerusi mesyuarat UMNO Johor - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: Ahmad Zahid pengerusi mesyuarat UMNO Johor

KENDERAAN yang membawa Ahmad Zahid Hamidi memasuki kediaman rasmi Menteri Besar Johor bagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di Saujana, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini hari ini.

Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri itu dilihat memasuki pekarangan kediaman tersebut pada pukul 4.25 petang.

Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan membincangkan nama-nama calon bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Selain Ahmad Zahid, mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Difahamkan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dijadualkan menghadiri mesyuarat bersama-sama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor pada pukul 8 malam ini di lokasi sama.

Malam semalam, BN Johor mengadakan mesyuarat berkaitan agenda sama yang turut dihadiri kepimpinan UMNO, MCA dan MIC negeri termasuk kepimpinan sayap Pemuda parti masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan  28 September ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN