JAKARTA: Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto menafikan khabar angin mengenai keretakan hubungannya dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Prabowo yang dipilih sebagai Presiden baharu Indonesia Oktober ini, menyifatkan dakwaan itu sebahagian usaha untuk memecahbelahkan hubungan beliau dengan Jokowi.
Bagaimanapun, Prabowo menegaskan enggan mengambil serius terhadap dakwaan tersebut.
“Saya bingung mereka lebih tahu daripada saya. Di mana retaknya? Menjengkelkan apabila ada pihak yang sengaja mengadu domba.
“Kalau ada yang tidak ‘move on’, tak mengapa kerana kita tidak mahu terpengaruh sebab kita bukan budak-budak,” katanya semasa berucap pada penutupan Kongres ke-VI Parti Amanat Nasional (PAN) di Jakarta, kelmarin.
Sebelum ini, khabar angin mengenai keretakan hubungan antara Jokowi dan Prabowo tersebar setelah Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Ketika itu, netizen mengaitkan dakwaan tersebut dengan beberapa potongan video yang beredar di media sosial.
Salah satu daripadanya adalah ketika Jokowi membayar zakat fitrah di Istana Negara, Jakarta yang menunjukkan Presiden Indonesia itu tidak bersalaman dengan Prabowo.
Video itu trending di media sosial dengan naratif negatif mengenai hubungan dua pemimpin tersebut.
Bahkan, ketidakhadiran anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka di majlis berbuka puasa bersama beberapa parti dalam Gabungan Indonesia Maju (KIM) turut memanaskan isu berkenaan.- CNN










