WASHINGTON: Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kini menjadi perhatian utama dengan Kamala Harris dari Parti Demokrat dan pesaingnya dari Republikan, Donald Trump muncul sebagai dua calon utama.
Harris, yang kini berkhidmat sebagai Naib Presiden, membawa pengalaman dan janji untuk meneruskan legasi pemerintahan Presiden AS, Joe Biden, manakala Trump berusaha kembali ke White House selepas kekalahan pada 2020.
Namun, dalam bayangan kedua-dua tokoh ini, terdapat sejumlah kecil calon bebas dan dari parti-parti kecil yang turut bertanding, berpotensi untuk memecah sokongan pengundi dan mengubah dinamik pilihan raya ini.
Berikut adalah beberapa calon yang berpotensi besar untuk menganggu perjalanan perlumbaan ke White House.
JILL STEIN
Aktivis dan doktor ini pernah bertanding sebagai calon Parti Hijau pada pilihan raya 2012 dan 2016.
Stein, 74, menyeru kepada rang undang-undang hak ekonomi yang merangkumi akses sejagat kepada penjagaan kesihatan dan hak untuk pekerjaan.
Beliau juga berikrar untuk memerangi perubahan iklim, mempertahankan akses kepada pengguguran dan hak transgender, selain baru-baru ini ditangkap pada protes pelajar berhubung solidariti Gaza.
Beliau tidak mungkin memperoleh lebih daripada dua peratus undi, tetapi jumlah itu masih boleh menghalang perjalanan Harris ke White House.
Sebelum ini, penyokong ahli politik AS, Hillary Clinton sebahagiannya menyalahkan Stein atas kekalahan tipis Demokrat pada 2016.
Di tiga negeri kritikal, Clinton tewas kepada Trump dengan undian yang lebih sedikit daripada Stein.
Dalam pilihan raya kali ini, Stein menuduh Demokrat cuba mengambil tindakan undang-undang untuk menghalangnya muncul dalam kertas undi di beberapa negeri dan mengubah peraturan bagi mengekalkan kuasa.
Menurut laman web parti itu, Stein akan berada dalam pengundian di sekurang-kurangnya empat negeri, walaupun kempennya berusaha ditambah ke lebih banyak negeri.
Butch Ware, seorang profesor di Universiti California Santa Barbara, adalah gandingannya untuk pilihan raya kali ini.
CORNEL WEST
Aktivis dan ahli akademik terkenal ini mempunyai perjalanan yang rumit untuk menyertai perlumbaan kali ini.
Awalnya, beliau melancarkan kempen pada Jun bersama Parti Rakyat. Selepas bertelagah dengan kumpulan itu, West memaklumkan akan mendapatkan pencalonan Parti Hijau, tetapi menukar haluan bertanding sebagai calon bebas.
Platform sosialisnya termasuk membiayai penjagaan kesihatan awam dan mengurangkan bajet pertahanan AS.
Ahli Lembaga Pengarah Black Lives Matter Grassroots, Melina Abdullah adalah gandingannya dalam pilihan raya ini.
West sebelum ini menyerang Biden sebagai penjenayah perang serta menganggap Trump pemimpin yang berbahaya dan menyesatkan.
Pencalonannya boleh menjadi ancaman kepada Harris di negeri-negeri penting seperti Michigan, walaupun permohonannya untuk muncul dalam kertas undi di sana ditolak.
Beliau kini berada dalam kertas undi di sembilan negeri dan menghadapi kesukaran untuk mengumpul dana.
CHASE OLIVER
Parti Libertarian, parti politik ketiga terbesar di negara ini, mencalonkan Chase Oliver sebagai calon presiden mereka, dengan Mike ter Maat sebagai gandingannya.
Oliver, 40, seorang eksekutif jualan yang secara terbuka gay dan sebelum ini bertanding atas tiket Libertarian dalam pilihan raya kongres AS di Georgia.
Beliau adalah calon presiden AS termuda, dengan kempennya menyokong keseimbangan bajet, menghentikan sokongan ketenteraan kepada Israel dan Ukraine, menutup semua pangkalan tentera Amerika di luar negara serta menghapuskan hukuman mati.
Libertarian menyokong kebebasan kerajaan dan individu kecil, biasanya menarik satu hingga tiga peratus undi daripada Republikan.
Pada 2020, calon parti itu menerima undian lebih banyak daripada margin kekalahan Trump di tiga negeri.
ROBERT F KENNEDY JR
Anak saudara kepada bekas Presiden John Kennedy ini pada mulanya mencuba, namun gagal untuk bertanding sebagai calon Demokrat.
Aktivis anti vaksin berusia 70 tahun ini kemudiannya memutuskan menjadi calon Bebas dan memilih peguam serta dermawan dari California, Nicole Shanahan sebagai gandingan.
Mesej ekonomi populis dan kritikan terhadap dua parti utama, pada mulanya memberi Kennedy lonjakan dalam tinjauan pendapat, berikutan ramai pengundi tidak berpuas hati dengan pilihan Biden atau Trump, tetapi beliau hampir terlepas kelayakan untuk debat presiden pertama pada akhir Jun.
Namun, Kennedy baru-baru ini mengumumkan penamatan kempen jangka panjang untuk pemilihan presiden 2024, dan menyatakan sokongan kepada Trump.
Pengumuman itu dibuat selepas Shanahan menyatakan beliau menyokong sepenuhnya peranan untuk Kennedy dalam pentadbiran Trump pada masa hadapan.










