JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat kemungkinan motif penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun pada 20 Julai lalu di Iskandar Puteri di sini bermotifkan jenayah pedofilia.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan itu ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi melibatkan kanak-kanak di kediaman suspek.
Walau bagaimanapun, katanya, motif sebenar penculikan itu diyakini dapat dikenal pasti dalam masa terdekat.
“Berhubung kes ini, siasatan terhadap suspek masih berjalan walaupun telah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini. Namun, kita tangkap semula suspek selepas mendapati petunjuk baharu, iaitu peralatan seks berkenaan.
“Sehubungan itu, fokus siasatan kita kini menjurus kepada petunjuk baharu itu dan kita harap dapat kenal pasti motif dalam masa beberapa hari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kumar menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
“Tiada laporan polis yang ditarik, kes ini sedang disiasat dan proses siasatan berjalan seperti biasa. Siasatan awal juga mendapati suspek bertindak seorang diri dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan penjenayah,” tegasnya.
Kumar turut memberitahu tiada keperluan untuk kanak-kanak berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan semula kerana laporan perubatan dibuat sebelum ini mengesahkan mangsa selamat dan tidak diapa-apakan, namun trauma.
Kelmarin, suspek berusia 31 tahun ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.
Suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.










