SEREMBAN: Pemeriksaan secara kerap serta penyelenggaraan terhadap lif dan eskalator mengikut jadual mampu mengelak daripada kemalangan membabitkan kemudahan itu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan, Ir. Dr. Nor Halim Hasan berkata, tindakan itu penting kerana kedua-dua fasiliti itu sering digunakan oleh orang awam.
Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 1,331 unit lif penumpang dan 177 unit eskalator di seluruh negeri ini yang berdaftar dengan JKKP.
“Semua unit berkenaan perlu menjalani pemeriksaan setiap 15 bulan sekali sebelum diberikan perakuan kelayakan (CF).
“JKKP menggesa semua pihak yang terlibat tidak mengambil mudah terhadap aspek pemeriksaan dan penyelenggaraan lif dan eskalator walaupun sehingga kini tiada kemalangan melibatkan kedua-dua peralatan itu di negeri ini,” katanya kepada para pemberita di pejabat JKKP negeri di sini hari ini.
Nor Halim menarik perhatian, bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan lif dan eskalator, pihaknya akan menganjurkan Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Lif dan Eskalator pada 24 Ogos ini.
Jelasnya, kempen selama tiga jam bermula pukul 10 pagi itu akan diadakan di Mydin Mall dekat Seremban 2 di sini.
“Kempen ini penting ekoran beberapa kes kemalangan melibatkan kedua-dua fasiliti itu seperti yang boleh ditonton di media sosial.
“Kanak-kanak dan orang dewasa masing-masing terdedah kepada bahaya ketika menggunakan lif atau eskalator,” ujarnya.
Menurutnya, pihak lain yang mengambil bahagian dalam kempen itu adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA).
Tambahnya, pihaknya turut menyediakan permainan untuk kanak-kanak sebagai satu daya tarikan kepada keluarga mereka mengunjungi kempen itu.
“Ini kerana kanak-kanak yang mempunyai sifat ingin tahu lebih terdedah kepada bahaya jika dibiarkan bermain dengan lif atau eskalator,” katanya.-UTUSAN.










