JOHOR BAHRU: Rahsia seorang penganggur berusia 44 tahun yang hidup mewah terbongkar apabila dia ditahan kerana disyaki memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM2.2 juta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki itu ditahan dalam dua serbuan bermula pukul 2 petang hingga 4.30 petang, 7 Ogos lalu.
Menurutnya, serbuan pertama ke atas sebuah kereta Honda Accord milik suspek di kawasan kondominium, manakala serbuan kedua di sebuah rumah kedai di sekitar bandar raya ini.
“Dalam serbuan tersebut, kita merampas pelbagai jenis dadah, iaitu 12.6 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 123 gram (g) ketamin, 621.8 g pil ekstasi dan 3.9 g pil eramin 5 bernilai keseluruhan RM2.214 juta.
“Selain itu, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua alat pengisar, dua keping kad berwarna kuning keemasan, pelbagai barangan kemas bernilai RM21,628 dan wang tunai sebanyak RM700,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini semalam.
Raub berkata, suspek dipercayai mengedar dadah secara bersendirian sejak Jun tahun ini.
“Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan rumah kedai sebagai lokasi simpanan dadah sebelum dijual kepada pembeli di sekitar bandar raya ini.
“Majoriti dadah ini telah diletakkan dalam peket dengan gambar menarik dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya sambil memberitahu suspek kini ditahan reman hingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Raub turut memaklumkan pihaknya telah merampas 137.49 kg dadah bernilai RM571.3 juta dan menahan seramai 2,997 suspek atas pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Januari hingga 12 Ogos lalu.










