Penemuan takungan air, saintis percaya wujud hidupan di Marikh

Penemuan takungan air, saintis percaya wujud hidupan di Marikh

SEBELUM ini saintis mendedahkan Marikh mempunyai tasik, sungai dan laut kira-kira tiga bilion tahun lalu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN DIEGO: Jumlah takungan air yang banyak jauh di dalam kerak planet Marikh, menimbulkan semula persoalan dalam kalangan saintis yang percaya tentang kemungkinan wujudnya hidupan di planet merah tersebut.

Ia susulan penemuan baharu saintis menunjukkan sejumlah besar air mungkin terperangkap sedalam 11.5 hingga 20 kilometer di bawah permukaan Marikh.

Pengarang bersama kajian dari Institut Oseanografi Scripps di Universiti of California San Diego, Dr Vashan Wright berkata, isipadu air yang ditemui berdasarkan kiraan saintis mungkin melebihi jumlah air yang terdapat dalam lautan purba Marikh.

Kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Persidangan Akademi Sains Kebangsaan melaporkan bagaimana Wright dan kumpulan saintis membuat pengiraan berdasarkan data graviti Marikh dan ukuran yang direkodkan oleh robot angkasa lepas Nasa, InSight Lander yang kini berada di Marikh.

Dua faktor itu menunjukkan bagaimana kelajuan gelombang seismik yang dihasilkan oleh gempa Marikh dan impak meteor, mengubah kedalaman kerak Marikh.

Wright berkata, jika ukuran di lokasi mendarat InSight Lander mewakili keseluruhan planet, jumlah air yang terperangkap dalam rekahan batu akan cukup untuk mengisi lautan sedalam satu hingga dua kilometer di Marikh.

“Di Bumi, air bawah tanah meresap dari permukaan dan kami mengharapkan proses ini berlaku di Marikh,” katanya.

Saintis sebelum ini mendedahkan, Marikh mempunyai tasik, sungai dan laut kira-kira tiga bilion tahun lalu, namun apabila planet itu kehilangan atmosfera, sumber air turut lenyap.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×