Pemandu Mercedes-Benz maut rempuh Proton Wira

Pemandu Mercedes-Benz maut rempuh Proton Wira

KEADAAN Proton Wira yang dirempuh kereta Mercedes-Benz di Kilometer 49, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Desa, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta Mercedes-Benz dipandunya merempuh sebuah Proton Wira yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 49, Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Desa, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Tan Kat Leng, 68, yang memandu Mercedes-Benz S350 tercampak keluar lalu terkena pembahagi jalan.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah sama, iaitu dari bandar Kluang me­nuju ke arah Ayer Hitam.

“Ketika sampai di lampu isyarat Taman Desa, pemandu kereta Proton Wira, T. Dorairaj, 68, telah menghentikan ken­deraannya kerana lampu isyarat merah.

“Walau bagaimanapun, ke­reta Mercedes Benz dipandu Tan Kat Leng yang datang dari belakang merempuh kereta Proton Wira berkenaan. Akibatnya, kereta Proton Wira terdorong ke atas pembahagi jalan, manakala kereta Mercedes-Benz bergerak ke hadapan dan pemandunya tercampak keluar sebelum ter­kena pembahagi jalan.

“Pemandu kereta Mercedes-Benz yang mengalami kecede­raan pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN