ROMPIN: Pemandu lori mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan dan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga merempuh sebuah rumah dan mengakibatkan kematian dua beradik di kilometer lima Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan Sabtu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fadzil Zakaria, 40, membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine di bilik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, pukul 4.10 petang, 3 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 39B akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, dan Mohd. Waldon Faris, 21, di Kampung Ketapang Hilir, kira-kira 4.15 pagi Sabtu lalu.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak lebih RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan lesen memandunya digantung sehingga selesai prosiding.
Mahkamah turut menetapkan 7 Oktober bagi sebutan kes pertuduhan pertama manakala 26 Ogos bagi serahan dokumen untuk pertuduhan kedua.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi Sabtu lalu, sebuah lori membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan.
Kejadian itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd. Waldon Faris meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ibu bapa mangsa, Norrulaini Mohd. Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd. Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan. – UTUSAN










