PORT DICKSON: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) kini bekerjasama dengan pakar luar negara bagi membangunkan akta atau perundangan khususnya dalam aktiviti membabitkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Dr. Rosli Darmawan berkata, langkah itu perlu memandangkan akta serta perundangan tersebut amat penting dalam menjaga kelestarian alam sekitar di masa akan datang.
Menurutnya, REE kini merupakan salah satu hasil yang sedang cuba dibangunkan kerajaan dan pihaknya mempunyai teknologi dalam memastikan cara atau kaedah melombong REE mempunyai prosedur operasi standard (SOP).
“Kita ada bekerjasama dengan pakar dari luar negara seperti dari China dan kita dalam proses bangunkan juga akta perundangan supaya melombong (REE) ada SOP serta cara menjaga kelestarian alam sekitar.
“Ini penting bagi memastikan (alam) tidak tercemar dengan cara melombong seperti yang ditinggalkan penjajah terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Ruziah Shafei serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi besar industri REE terutamanya daripada sumber tempatan.
Menurut beliau, aktiviti penguatkuasaan juga perlu diperkemas bagi mengelak sumber negara dieksploitasi yang akan mengurangkan hasil kepada kerajaan dan merencat pembangunan industri REE negara.
Sementara itu, seramai 13 orang pakar dalam bidang penulisan dan penerbitan saintifik dijemput untuk melatih lebih 60 peserta dalam seminar dan bengkel penulisan itu yang bertujuan meningkatkan mutu serta produktiviti hasil karya dan penerbitan saintifik.
Ruziah dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik di antara DBP dan Nuklear Malaysia sejak 2013 hingga kini telah membawa terhasilnya banyak penerbitan buku, artikel, glosari dan ensiklopedia dalam bidang sains nuklear dalam Bahasa Melayu.
Menurut beliau, Nuklear Malaysia turut mencatat pencapaian sebanyak 603 buah penerbitan bagi tahun lalu merangkumi jurnal, artikel, buku dan sebagainya.
“Oleh itu, sebagai usaha yang berterusan, kolaborasi di antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat untuk menerbitkan hasil karya masing-masing perlulah digalakkan bagi melengkapi fungsi dan misi masing-masing, disamping dapat mengekalkan ilmu-ilmu tersebut sebagai khazanah penting negara yang tidak ternilai harganya,” kata beliau.
Menurutnya, penyebaran hasil kajian itu perlu dilakukan dengan menghasilkan karya yang bermutu tinggi tetapi pada masa yang sama dapat difahami oleh masyarakat.-UTUSAN.










