MELAKA: Kira-kira 77 nelayan Pangkalan Sungai Lereh dekat sini akhirnya mampu menarik nafas lega apabila pembinaan pelantar baharu dan pemasangan satu unit mesin winch bakal siap selewat-lewatnya 27 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, projek di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bagi memudahkan nelayan menaikkan bot ke darat untuk dibaiki.
Menurutnya, sebelum ini nelayan terlibat hanya boleh membaiki bot sewaktu air surut kerana ketiadaan pelantar untuk menurunkan bot dan mesin winch bagi menaikkannya.
“Saya bersama ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi telah melakukan lawatan di Pangkalan Nelayan Sungai Lereh selepas menerima aduan berhubung masalah yang mereka hadapi.
“Projek dengan kos RM115,000 adalah di bawah peruntukan LKIM Melaka telah bermula kerja-kerja pembinaan sejak 21 Jun dan dijangka siap pada 27 September ini.
“Apabila siap nanti projek ini akan memudah cara nelayan di sini untuk menarik bot ke darat menggunakan mesin winch untuk dihantar bagi dibaiki,” katanya selepas meninjau projek berkenaan.
Tambah Ban Hong, sebelum ini sebuah pelantar telah dibina tidak jauh dari situ, namun ia tidak mampu menampung jumlah nelayan yang terdapat di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, berhubung mendapan di muara Sungai Lereh, ujarnya, permohonan untuk mendalamkan sungai telah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Mendapan itu jika tidak diatasi ia menyukarkan laluan keluar masuk kepada bot nelayan untuk memunggah hasil tangkapan kerana tidak dapat merapati pangkalan disebabkan air terlalu cetek,” katanya. – UTUSAN










