JELEBU: Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan akhir berhubung nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos tahun lalu pada pukul 3 petang ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu akan dimuat naik di laman web kementerian.
“Laporan itu akan dikeluarkan pada hari ini pukul 3 petang, akan dimuat naik di laman web Kementerian Pengangkutan, jadi tunggu laporan nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau (SBST) di Seremban bagi Pakej B di Terminal Bas Kuala Klawang di sini hari ini.
Media pada 15 September tahun lalu melaporkan, laporan akhir nahas itu dijangka diselesaikan pada Ogos tahun ini selaras dengan standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.
Pada 17 Ogos tahun lalu, pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang, Selangor.
Ia meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew di atas pesawat dan dua pengguna jalan raya.-UTUSAN.










