GEORGE TOWN : Polis telah mengambil keterangan daripada seorang lelaki tempatan berhubung penularan rakaman video sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, keterangan suspek berusia 20-an, telah direkodkan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Razlam berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman video berdurasi 39 saat yang dimuat naik ke dalam laman X, kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
“Rakaman video tersebut memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arus dan semakan mendapati, kejadian berlaku Sabtu lalu, kira-kira pukul 4.48 petang di Jalan Masjid Negeri.
“Susulan itu, pemandu kereta tersebut iaitu seorang lelaki tempatan telah dipanggil untuk diambil keterangan dan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Menerusi rakaman video itu, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru dipandu dalam keadaan melawan arus di kawasan jalan yang sibuk.
Bagaimanapun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku apabila pemandu kenderaan lain dilihat memandu perlahan dan mengelak daripada bertembung dengan kereta terbabit.
Dalam pada itu, Razlam memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam hal ini, pihak polis ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan,” katanya. – UTUSAN










