LGS semakin dikenali, diiktiraf di Indonesia

LGS semakin dikenali, diiktiraf di Indonesia

SEBAHAGIAN peserta bergambar sebelum memulakan Kejohanan Golf Leisuremania 2024 di Kelab Golf Jatinangor, Bandung, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKRATA: Sejak bertapak di bumi Garuda 11 tahun yang lalu, kini Leisure Golf Services (LGS) semakin dikenali dan diiktiraf sebagai sebuah syarikat agensi pelancongan yang dipercayai oleh kelab-kelab golf terkemuka di Jakarta, Indonesia.

Pengiktirafan dan kepercayaan itu diberikan oleh kelab-kelab golf antaranya Sedayu Golf Club (GC), Imperial GC, Gunung Geulis GC, Rainbow Hills GC, Parahyangan G, Jatinangor GC, Taman Dayu GC dan banyak lagi kepada LGS berikutan syarikat agensi pelancongan itu berjaya membantu mempromosi kelab-kelab golf tersebut dengan membawa ribuan pemain golf dari serantau Asia beraksi di situ.

Dalam setahun, LGS berjaya menganjurkan kira-kira enam kali kejohanan golf membabitkan hampir 10,000 peserta terdiri dari Malaysia dan Singapura, di mana secara purata setiap kejohanan terdiri antara 60 hingga 80 peserta.

Kejohanan-kejohanan itu diadakan di Jakarta, Bandung, Jogjakrata dan Surabaya. Selain itu, LGS juga turut menyediakan perkhidmatan percutian golf dan keluarga ke Thailand, Vietnam dan Kemboja pada harga yang berpatutan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LGS, Steven Leow, sejak awal bertapak di Jakarta pada tahun 2013, pelbagai cabaran yang dihadapinya sebelum LGS dikenali hari ini.

PARA pemenang bergambar bersama Steven Leow (dua dari kanan) selepas penyampaian hadiah.

Katanya, antara cabarannya ialah terpaksa bersaing dengan agensi-agensi pelancongan sedia ada yang bertapak di Jakarta sama ada agensi pelancongan itu milik rakyat Malaysia mahupun milik warga Indonesia itu sendiri.

“Cabaran utamanya ialah dari segi persaingan dalam usaha menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan agensi masing-masing. Bagaimanapun LGS tidak menumpukan kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih menekankan kepada kepuasan dan keselesaan pelanggan.

“LGS memberi perkhidmatan sepenuhnya dengan mengutamakan kepuasan dan keselesaan pelanggan baik dari segi penginapan, pengangkutan dan padang golf. Selain itu, LGS juga turut menyediakan perkhidmatan polis pengiring bagi melancarkan perjalanan ke setiap destinasi.

“Semua orang tahu bahawa di Jakarta keadaan kesesakan lalu lintas cukup memeningkan kepala. Justeru, LGS memikirkan perlu ada polis pengiring bagi melancarkan perjalanan supaya sampai ke destinasi yang dituju dengan tepat pada waktunya,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang Kejohanan Golf Leisuremania 2024 di Hotel Mercure Batavia, di sini.

Pada kejohanan itu, seramai 82 pemain golf amatur Malaysia dari Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Pinang, Johor, Terengganu dan Perak menyertainya dan beraksi di tiga kelab golf tersohor iaitu Sedayu GC (Jakarta), Jatinangor GC dan Parahyangan GC di Bandung.

Pemain handicap 10, Dzulkhairi Ahmad dinobatkan sebagai juara selepas memperoleh 37 mata, diikuti Draman Akasah di tempat kedua juga dengan pungutan 37 mata dan tempat ketiga milik Abdul Halem dengan mengumpul mata yang sama (37). Semua pemenang ditentukan menerusi kiraan handicap. Semua pemenang memenangi pakej golf di Jakarta.

Mengimbau kenangan pahit yang dihadapi LGS, Steven berkata, pandemik Covid-19 yang turut melanda Indonesia pada tahun 2020 sehingga 2022 adalah detik yang paling sukar dilupakan di mana beliau terpaksa mencatur pergerakan syarikat dengan menutup pejabat dan mengarahkan pekerja-pekerjanya bekerja dari rumah.

Selain itu, tambahnya, beliau juga terpaksa menjual aset syarikat seperti kenderaan bagi menampung perbelanjaan syarikat yang berhadapan saat sukar waktu itu.

“Selepas berlalu pandemik Covid-19 tiga tahun lalu, LGS kembali merangkak pulih dan kini alhadulillah, LGS mula mendapat kepercayaan sebagai sebuah agensi pelancongan golf yang diyakini.

“LGS telah dicalonkan untuk Agensi Pelancongan Golf Terbaik Indonesia oleh Anugerah Golf Dunia. Memandangkan ini satu penghormatan kepada LGS untuk dicalonkan, kami menghargai jika anda dapat mengundi LGS dan menjadikan kami juara di bumi Garuda.

“Untuk membantu menjadiklan LGS sebagai agensi pelancong golf tersohor, anda boleh layari website ini https://worldgolfawards.com/vote/leisure-golf-services-pt-leo-golf-sukses-wisata-2024,” ujarnya yang kini mempunyai kira-kira 30 orang pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN