Letupan, gegaran misteri gemparkan penduduk Segamat - Utusan Malaysia

Letupan, gegaran misteri gemparkan penduduk Segamat

NUR HALIMATUL SHAHANA Suanda menunjukkan bumbung rumahnya di Batu 5, Buloh Kasap, Segamat yang bergegar akibat gegaran dan letupan kuat petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT:  Penduduk daerah ini digemparkan dengan dentuman dan gegaran seakan-akan letupan bom dan gempa bumi petang semalam.

Nur Halimatul Shahana Suanda, 26, mendakwa terdengar bunyi letupan misteri pada pukul 3.50 petang.

“Saya ingatkan ada gempa bumi selepas bunyi letupan kuat tujuh kali berturut-turut. Ketika kejadian, saya berada di rumah tengah tidurkan anak dalam buaian yang dalam ketakutan sebaik mendengar letupan kuat itu. 

“Letupan kuat itu menyebabkan bumbung rumah saya bergegar. Saya fikir ada berlaku gempa bumi, guruh atau hendak hujan, namun cuaca ketika itu cerah. Sebelum itu, saya ada dengar bunyi kuat, tetapi sangkakan bunyi meriam tentera untuk latihan sempena sambutan Hari Kebangsaan Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 5, Buloh Kasap, dekat sini.

Nur Halimatul yang juga seorang suri rumah menyedari bunyi misteri letupan itu selepas menerima panggilan daripada beberapa kenalannya yang mengalami perkara sama.

“Saya ada membaca komen dalam media sosial sekitar Segamat berkenaan bunyi letupan misteri itu berlaku di rumah penduduk di beberapa lokasi. Barulah saya sedar bunyi misteri letupan itu bukan saya seorang sahaja yang dengar dan lebih aneh tidak diketahui puncanya,” katanya.

Ibunya, Nora Mohd. Nor, 50-an, ketika kejadian berada di bilik hadapan sebelum dikejutkan dengan jeritan Nur Halimatul, mengatakan berlaku gempa bumi kerana bumbung bergegar kuat.

“Apabila lihat di bahagian bawah bumbung, terdapat sedikit keretakan,” katanya sambil bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu dan semua ahli keluarganya selamat.

Bunyi misteri seperti letupan bom itu turut menjadi spekulasi dengan pelbagai pandangan daripada warga maya yang tular dalam laman sosial media Facebook serta WhatsApp

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Abdullah, Segamat Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hazim Abd. Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

Jabatan Meteorologi  (MetMalaysia) Johor turut menafikan khabar angin tentang kejadian gempa bumi di daerah ini petang semalam.

Jurucakap jabatan berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran yang banyak disebarkan dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam adalah tidak benar dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih tentang sebarang amaran atau nasihat berkenaan cuaca melalui laman web di www.met.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya