Bos Ducati puji Marquez

Bos Ducati puji Marquez

GIGI DALL'LGNA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assen, BELANDA: Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna menghamburkan pujian kepada Marc Marquez selepas pelumba Sepanyol itu menyamai jumlah kemenangan kelas perdana Giacomo Agostini di Grand Prix (GP) Belanda.

Marquez meraih kemenangan MotoGP ke-68 di Assen, Ahad lalu, menyamai rekod yang pernah dicatatkan legenda Itali, Giacomo Agostini ketika era kegemilangannya pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Kejayaan itu juga diraih dengan penuh bergaya oleh Marquez apabila mencatat kemenangan berganda ketiga berturut-turut, menjadikannya belum ditewaskan sejak dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Silverstone hujung Mei lalu.

“Dalam pusingan ke-10 MotoGP 2025, Marquez mencatat kemenangan keenam musim ini, menyamai legenda Giacomo Agostini dari segi jumlah kemenangan dalam kelas perdana iaitu 68 dalam jumlah keseluruhan 94 kemenangan dunia.

“Dia melakukannya di litar berprestij yang tidak pernah memberinya kemenangan sejak 2018.

“Kita tahu bahawa Assen bukan antara litar kegemarannya, seperti juga Mugello namun seperti minggu lalu, apabila dia memilih untuk mendahului, dia melakukannya kekal di depan dan menjarakkan diri seandainya perlu.

“Pencapaian luar biasa dan pujian yang amat layak untuk pelumba hebat ini yang sedang mencipta sejarah dalam MotoGP seperti legenda terdahulu dengan semangat, tenaga dan keazaman seorang pelumba muda yang mahu mengukir namanya sendiri.

“Ini menggambarkan segala-galanya tentang dirinya, karakternya dan bakatnya tetapi juga profesionalismenya,” kata Dall’Igna. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN