ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang treler sebelum melanggar sebuah kereta lain dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Paya Datuk di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.05 malam itu, mangsa, Muhammad Azri Ab. Jalil, 24, yang menunggang motosikal Yamaha meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepada dan badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Simpang Ampat manakala treler jenis Scania menuju ke Lendu dari Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan membelok ke kanan. Mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh belakang sebelah kanan treler sebelum memasuki lorong kanan dan melanggar sebuah kereta Perodua Alza yang menuju ke bandar Melaka.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu treler dan kereta masing-masing berusia 31 dan 37 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Tambah Ashari, semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.










