Lebih 3,000 undang-undang lapuk bakal dinilai semula

Lebih 3,000 undang-undang lapuk bakal dinilai semula

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia melakukan usaha penilaian semula ke atas lebih 3,000 undang-undang lapuk yang didapati sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Malahan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa isu itu kepada Kabinet minggu depan.

“Saya belum lagi bentang dalam mesyuarat jemaah menteri, namun insya Allah dalam minggu depan, perkara tersebut akan diketengahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulan Ogos 2024 dan kemudian meninjau Jualan Rahmah peringkat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini semalam.

Pada 5 Ogos lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan ada memanggil ketua setia­usaha setiap kementerian bagi menilai balik akta yang tidak sesuai.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, setelah dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat, beliau akan mendapatkan pula keputusan sama ada perlu dibentuk jawatankuasa tertentu.

“Mungkin kita bakal ada jawatankuasa khas atau pun secara ad-hoc dan ini juga respons terhadap kenyataan oleh Perdana Menteri mengenai kes ta­nah Semantan Estate,” jelasnya.

Beliau merujuk maklum balas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu yang mahu agar semakan undang-undang dibuat semula bagi mengelak implikasi buruk kepada negara.

Menyentuh perkara itu, Azalina menambah, sebahagian besar undang-undang lapuk itu digubal sebelum era kemerdekaan pada 1940-an yang ada langsung tidak lagi boleh dipakai.

Justeru ujarnya, pihak BHEUU akan menyenaraikan kesemua akta lama tersebut untuk dinilai Kabinet kerana ia merentasi pelbagai agensi, kerajaan pusat, negeri dan tempatan.

“Ada masih relevan tetapi pada saya, tanggungjawab reformasi undang-undang memang kena tengok situasi semasa dan ini perlu kepada kajian yang amat terperinci,” jelasnya.

Langkah berkenaan tegas­nya, bukan sahaja dipikul Jabatan Peguam Negara, malahan badan kehakiman dan fakulti undang-undang di universiti tempatan juga wajar dilibatkan.

Ditanya tempoh semua undang-undang lapuk itu diselesaikan, Azalina berkata, perkara itu memakan masa kerana perlu dibawa kepada Parlimen untuk pindaan atau pemansuhan.

Beliau pada masa sama mengingatkan masyarakat bahawa jika undang-undang lapuk itu tidak diteliti balik, dibimbangi ada masih merujuknya tanpa mengikut suasana sekarang.

Sehubungan itu, dalam usaha mempercepatkan lagi proses tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan ada akta lama itu dinilai mengikut tema kepentingan atau en-bloc tertentu.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan, sebarang penggubalan undang-undang baharu selepas ini bakal melalui proses tinjauan awam ala bancian dan menerima maklum balas rakyat demi memberi pemahaman awal kepada masyarakat.

Katanya, amalan pada masa ini menyaksikan undang-undang diwujudkan tanpa mengambil kira suara rakyat, malah mencetuskan salah faham apabila dikuatkuasakan.

“Contoh terdekat ialah pendaftaran platform media sosial apabila ramai terkeliru sangka kerajaan mengawal pengguna siber walhal realitinya bukan sedemikian,” tegasnya.

Usaha ini juga katanya, selaras dengan pelancaran Penilaian Garisan Asas Kebangsaan untuk Pelan Tindakan Nasional bagi Bisnes dan Hak Asasi Manusia oleh bahagian itu.

“Kita mahu setiap undang-undang baharu yang diwujudkan kelak memberi kesejahteraan kepada rakyat dan dapat kekalkan kemakmuran kepada ekonomi negara,” katanya.

Azalina berkata, BHEUU berhasrat Belanjawan 2025 memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem perundangan negara, malah menjadi fokus pentadbirannya tahun depan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN