KWASA Damansara kini memasuki fasa pertumbuhan baharu apabila pembangunan perbandaran seluas 912.56 hektar itu semakin memperlihatkan kemajuan menerusi projek kediaman, infrastruktur, komersial serta kemudahan gaya hidup yang sedang dibangunkan secara berperingkat.
Kwasa Land Sdn. Bhd. (Kwasa Land) menyasarkan pembangunan berkenaan mampu menempatkan sehingga 100,000 penduduk daripada unit kediaman apabila keseluruhan bandar itu siap menjelang 2050.
Dalam tempoh lima tahun akan datang pula, lebih 60,000 penduduk dijangka mendiami Kwasa Damansara menerusi pembangunan kediaman dan pangsapuri servis yang sedang dan bakal dibangunkan.
Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md Yusof, berkata, pembangunan bandar berskala besar itu memerlukan perancangan teliti, infrastruktur kukuh serta penyelarasan antara pelbagai pihak bagi memastikan setiap komponen menyokong visi keseluruhan perbandaran.
“Pada hari ini, kita mula melihat komponen yang berbeza ini semakin bercantum dengan lebih jelas.
“Kejiranan yang telah siap, infrastruktur yang luas, pembangunan yang sedang berjalan, penawaran kediaman baharu serta destinasi gaya hidup aktif mewujudkan momentum yang semakin ketara di Kwasa Damansara,” katanya ketika taklimat kepada media baru-baru ini.
Komponen kediaman di Kwasa Damansara kini berkembang menerusi gabungan pembangunan yang telah siap, projek dalam pembinaan, kediaman yang baru dilancarkan serta projek akan datang.
Antaranya, Dedaun Rimba yang dibangunkan YTL Land & Development Berhad di atas tanah seluas 5.2 hektar, membabitkan 264 unit kediaman terdiri daripada 68 rumah teres tiga tingkat dan 196 rumah bandar satu setengah tingkat.
Daya Residence pula merupakan pembangunan pegangan bebas berkepadatan rendah membabitkan 260 unit di bawah TSR Development Sdn. Bhd.
Sementara itu, Linari yang kini dalam pembinaan menawarkan 496 unit kediaman, termasuk 480 unit kondominium di dua menara dan 16 unit Parkhomes, dengan projek itu dijadualkan siap pada 2028.
Pembangunan Tujuh Residences oleh MRCB di dalam Kwasa Damansara City Centre (KDCC) seluas 25.9 hektar pula menawarkan 573 kediaman menerusi dua sayap kediaman.
RIA Residensi oleh Sunsuria yang terletak bersebelahan Linari menawarkan kediaman pegangan bebas yang mempunyai akses kepada Transit Aliran Massa (MRT).
Dibangunkan dalam dua fasa di atas tapak seluas 3.8 hektar, RIA bakal menawarkan 520 unit kediaman termasuk 494 unit kondominium dan 26 unit kediaman bertanah.
Turut menambah pilihan kediaman ialah Waringin, pembangunan berkepadatan rendah seluas 8.5 hektar dengan keseluruhan 820 unit yang akan dibangunkan dalam dua fasa membabitkan rumah teres dan empat menara kondominium.
Selain itu, projek yang bakal menyusul di bahagian Shah Alam termasuk D’Nuri dan D’Evia oleh EXSIM serta pembangunan baharu oleh PPB Hartabina.
Dari segi kesalinghubungan, Kwasa Damansara dibangunkan sebagai perbandaran berorientasikan transit (TOD) yang disokong jaringan pengangkutan awam dan jalan raya.
Ia kini dilengkapi dua stesen MRT yang beroperasi, iaitu Kwasa Damansara dan Kwasa Sentral, selain mempunyai akses kepada dua stesen KTM Komuter, Sungai Buloh dan Subang SkyPark.
Stesen MRT Kwasa Damansara turut berfungsi sebagai stesen pertukaran antara Laluan MRT Kajang dan Laluan MRT Putrajaya, sekali gus menghubungkan perbandaran itu dengan rangkaian rel yang lebih luas di Lembah Klang.
Kwasa Damansara juga mempunyai akses kepada enam rangkaian jalan raya dan lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Koridor Utara Klang (NKVE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Lokasinya juga kira-kira empat kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Selain jaringan pengangkutan awam, laluan pejalan kaki dan berbasikal turut dirancang untuk menghubungkan kawasan kediaman dengan stesen pengangkutan awam, taman, kemudahan komuniti serta destinasi gaya hidup.
Aspek kelestarian turut menjadi antara komponen utama dalam pembangunan Kwasa Damansara apabila kira-kira 101.6 hektar atau 11 peratus daripada keseluruhan kawasan diperuntukkan untuk taman, kawasan berlandskap serta ruang hijau dan terbuka.
Seiring pertambahan populasi, Kwasa Land turut membangunkan ekosistem komersial, komuniti dan gaya hidup bagi meningkatkan kemeriahan perbandaran tersebut.
Kwasa Damansara City Centre (KDCC) bakal menjadi pusat komersial utama yang menyokong aktiviti perniagaan, pekerjaan, peruncitan dan komuniti pada masa hadapan. – UTUSAN










