PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan khidmat kaunseling secara berterusan kepada anak dan keluarga mangsa pembunuhan kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya ditemukan di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka 31 Disember lalu.
Menteri Fadhlina Sidek berkata, selain itu kebajikan anak-anak Allahyarhamah yang masih bersekolah akan turut diberi perhatian.
“Kita juga akan melihat keperluan lain seperti pencen arwah,” katanya kepada pemberita semasa melawat keluarga Istiqomah di Kampung Kubang Badak, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Istiqomah yang disifatkan sebagai seorang guru komited dalam menjalankan tugas.
“Sesungguhnya kejadian ini memberi kesan kepada semua, pemergiannya sangat menyayat hati,” ujarnya.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Istiqomah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar, Bandar Pasir Mas di sini kira-kira pukul 11.50 malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kehilangan seorang guru sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang disahkan sebagai Istiqomah.
Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu, mendapati ia sepadan dengan mangsa.
Hasil ujian mendapati, ia sepadan dengan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada 31 Disember 2023.
Mangsa dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember 2023.-UTUSAN










