Kerajaan fokus pembangunan ekosistem industri EV - Utusan Malaysia

Kerajaan fokus pembangunan ekosistem industri EV

ANTHONY Loke Siew Fook ketika diberikan penerangan mengenai kenderaan EV selepas merasmikan Program Kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan Careplus Sempena Pemasyuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di tapak kilang itu di Chembong, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan tenaga mahir dan prasarana yang lengkap perlu diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memantapkan industri EV di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, industri EV di Malaysia berpotensi besar untuk berkembang pada masa hadapan walaupun pasarannya masih terhad berbanding China dan negara Barat.

“Memang di Malaysia kita baharu bermula, belum ada anjakan yang besar dan sekarang pembelian EV ini masih pada kadar yang rendah sebab ramai yang teragak-agak adakah mereka hendak membeli kenderaan EV atau kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE).

“Kita juga memerlukan tenaga mahir dalam bidang automatif EV ini, selain pemasangan perlu ada yang pakar dalam memperbaiki kereta ini khususnya berkaitan bateri, mekanikal dan sebagainya termasuk aktiviti pelupusan bateri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Kelestarian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan Careplus Sempena Pemasyuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di tapak kilang itu di Chembong di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Teo Kok Seong dan Ketua Pegawai Eksekutif Careplus Group Berhad, Lim Kwee Fook.

Siew Fook berkata, daripada segi ekosistem, pihak Kementerian Pengangkutan sedang melihat kaedah untuk menguruskan kenderaan EV termasuk penyediaan stesen pengecasan mencukupi dan garis panduan lengkap.

“Mereka sedar akan berhadapan dengan pelbagai kekangan jika membeli EV seperti stesen pengecasan, harga jualan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, satu persatu isu itu sedang ditangani oleh kerajaan dengan membantu pihak swasta mempermudahkan dan memperbanyakkan lagi stesen pengecasan EV selain menyediakan garis panduan yang jelas daripada pihak bomba,” katanya.

Jelas beliau, walaupun masih baharu kementerian juga sedang mengkaji keperluan menguruskan EV yang telah digunakan selepas tempoh lapan ke 10 tahun.

“Ini semua memerlukan tindakan dan perancangan lebih rapi sebab kita tidak mahu apabila kita galakkan penggunaan EV, sudah ramai orang pakai nanti ada masalah lain pula berlaku kemudian,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini stesen minyak sedang dalam proses transformasi apabila bertindak sebagai pusat pengecasan kereta EV selain menjual minyak diesel dan petrol.

Mengulas mengenai program, Siew Fook berkata, operasi kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama negara di kawasan perindustrian Chembong di sini dijangka siap tahun depan.

Siew Fook, pembinaan kilang EV itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempromosikan jejak karbon negara dan ESG sebagai asas.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN